FITNAH menuduh wanita curang terhadap suaminya

perbuatan FITNAH itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. tapi kenapa ya begitu mudah orang-orang memFITNAH orang lain dan membiarkan diri mereka ditipu oleh syaitan sehingga pandangan mereka tertutup dan mereka merasakan apa yang mereka lakukan tidak salah?

banyak ayat al-quran dan hadis yang menjadi dalil betapa buruknya FITNAH. aku kongsikan satu dua saja di sini:

Al Baqarah:191
"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".

An-Nuur : 23-25
"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik, yang lengah lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahwa Allah-lah yang benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya)"

Hadis riwayat Khuzaifah r.a., beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah". (HR Imam Muslim)

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:
"Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Jauhilah tujuh hal yang merosak. Ada yang bertanya: Ya Rasulullah, apa tujuh hal itu? Rasulullah saw. bersabda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan pertempuran dan menuduh berzina wanita-wanita yang terjaga (dari berzina) yang lalai dan beriman"


FITNAH menuduh wanita suci curang kepada suaminya mengingatkan aku pada kisah yang dialami oleh ‘Aisyah r.a. apabila beliau diFITNAH oleh orang-orang munafik kononnya beliau telah berlaku curang dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah. ayat 11-20 Surah An Nuur akhirnya Allah turunkan sebagai penjelasan bersihnya ‘Aisyah di atas FITNAH yang dilemparkan ke atasnya.

dari ayat-ayat itulah Al-Imam Al-Ghazali menegaskan, setiap orang yang diceritakan kepadanya tentang sesuatu dengan maksud menyebar FITNAH hasutan, hendaklah dia mengambil 6 tindakan berikut:

1) Tidak membenarkan @ mempercayai apa yang disampaikan kepadanya, kerana penyebar FITNAH itu adalah orang fasiq, dan orang fasiq itu berita yang dibawanya tidak dapat dipercayai.

2) Melarang perbuatannya itu serta memberinya nasihat dan menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah tidak baik.

3) Membencinya kerana Allah, sebab Allah s.w.t. amat membenci pengadu domba, dan membenci kerana Allah ketika itu adalah suatu kewajipan.

4) Jangan sekali-kali berperasangka buruk tentang apa yang disampaikan itu, kerana Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa."
(Al-Hujuraat:12)

5) Janganlah cerita yang disampaikan itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya, sebab Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

"Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang."
(Al-Hujuraat:12)

6) Jangan merasa senang atau suka dengan perbuatan pengadu domba itu, dan seterusnya tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang diceritakan kepadanya itu.

... lupakah manusia apakah yang dikatakan zina? lupakah manusia keperluan persaksian bagi perlakuan zina itu? lupakah manusia apakah kriteria untuk diterima persaksian orang yang bersaksi telah melihat langsung terjadinya perlakuan zina itu?

"Orang-orang yang menuduh perempuan baik-baik berzina, kemudian ia tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) 80 kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik" (An-Nuur: 4)

wahai penyebar berita bohong! wahai penyebar FITNAH! wahai orang yang mencela orang-orang yang tidak berhak dicela! tahanlah lidahmu! sesungguhnya kamu akan dipertanggungjawabkan atas setiap ucapanmu ...

Comments

Popular Posts